Monday, September 24

Endometriosis, Senggugut, dan Wanita Berkerjaya

                                     


Penyakit endometriosis merupakan satu jenis penyakit yang agak luar biasa. Mungkin ramai yang tidak mengetahui tentang penyakit ini sedangkan sekarang semakin ramai wanita yang menghidapnya. Di antara masalah yang ditumbulkan oleh penyakit ini ialah senggugut dan kesakitan, kemandulan dan keguguran yang mungkin berulang-kali. Ia juga tidak boleh dipandang mudah kerana senggugut yang kerap mungkin menandakan kehadiran endometriosis. Ia juga boleh menyebabkan pelbagai jenis masalah seperti pendarahan, gangguan kencing, kesakitan, dan lain-lain.

APAKAH SEBENARNYA PENYAKIT ENDOMETRIOSIS?

Penyakit endometriosis ini adalah satu keadaan luar biasa di mana tisu dari selaput dalam rahim yang digelar ´endometrium´ telah tumbuh di luar rahim. Selaput ini biasanya luruh bersama-sama darah haid. Oleh itu campuran darah dari rahim dengan tisu yang telah berkecai daripada lapisan endometrium serta kuman-kuman bakteria, menjadikan apa yang digelar ´darah kotor´ atau darah haid.

APAKAH TANDA-TANDA ATAU GANGGUAN?

Tanda yang paling utama sekali di kalangan wanita ialah senggugut ataupun kesakitan pada bawah perut dan pinggang. Senggugut ini mungkin dialami dari sejak remaja lagi dan ia berterusan dan mungkin tidak reda walaupun selepas berkahwin. Ada sesetengahnya lega sekejap selepas berkahwin dan melahirkan anak, tetapi senggugut ini akan timbul semula akibat daripada penyakit endometriosis. Kesakitan yang dialami biasanya berlaku sebelum datangnya haid yang biasanya berbentuk kesakitan yang amat kuat pada bahagian ari-ari dan sering juga ke bahagian pinggang.

Biasanya sakit akan hanya reda selepas dua atau tiga hari sahaja, tetapi jika keadaan di mana endometriosis ini telah merebak, kesakitan ini mungkin akan berterusan waktu haid dan walaupun haid sudah berhenti kadang-kala kesakitan masih ada lagi. Ini menunjukkan bahawa penyakit ini berada di peringkat teruk dan mungkin telah melibatkan dinding atau otot rahim.

Gangguan lain ialah ketidaksuburan dan kemandulan. Ini adalah masalah besar di kalangan penghidap-penghidap penyakit endometriosis. Mereka tidak sedar yang penyakit ini mungkin telah timbul, yang mereka tahu ialah mereka sukar untuk mengandung, samaada buat kali pertama ataupun selepas melahirkan seorang anak ia tidak dapat hamil lagi beberapa tahun kemudian.

BAGAIMANA SELAPUT ENDOMETRIUM INI BOLEH TUMBUH DI LUAR RAHIM?

Biasanya tempat-tempat di luar rahim di mana tisu endometrium ini tumbuh ialah pada kilang telur (ovari), belakang rahim (utero sacral ligament), saluran fallopian, pundi kencing, kadang-kala di tempat-tempat yang aneh seperti parut bekas pembedahan untuk melahirkan anak ataupun pembedahan untuk tujuan lain. Endometrium ini juga boleh tumbuh pada dinding atau otot rahim menyebabkan penyakit yang digelar Adenomyosis.

Bagaimana tisu endometrium ini boleh tumbuh pada tempat-tempat yang luar biasa, tidaklah diketahui dengan tepat. Terdapat beberapa teori yang cuba menjelaskan berlakunya keadaan seperti ini. Di antaranya ialah ada kemungkinan darah kotor melimpah atau tumpah ke belakang rahim melalui saluran fallopian. Mungkin ini disebabkan oleh rahim yang kedudukannya luar biasa, iaitu jatuh ke belakang ke arah tulang tongking (retroverted uterus).


Ada juga yang mengaitkan bahawa endometriosis ini sering berlaku di kalangan wanita-wanita yang sering tertekan jiwa mereka (stress), yang mudah menggelabah dan di kalangan mereka yang sangat mementingkan kerjaya dan mereka yang tinggi I.Q.nya. 10 hingga 20 peratus wanita di seluruh dunia menghadapi masalah endometriosis dan antara 30 hingga 40 peratus daripadanya adalah mandul.

Ada juga yang mengatakan bahawa sistem ketahanan pada wanita tersebut telah lemah dan lentur, oleh itu tisu- tisu yang patut keluar dari tubuhnya kini menyerang semula tubuh badannya sendiri. Apa yang terjadi ialah apabila tisu endometrium ini melekat pada tempat-tempat tertentu, ia mulai tumbuh. Lapisan endometrium menjadi tebal akibat daripada rangsangan hormon wanita dalam pusingan haid dan apabila haid berlaku lapisan endometrium tersebut juga akan mengeluarkan darah. Jika keadaan begini berlaku dalam telur (ovari) lama-kelamaan darah akan berkumpul serta menyebabkan apa yang digelar ovarian cysts atau chocolate cysts kerana mengandungi darah kotor yang berbentuk seperti pasta coklat. .

PENGESAHAN PENYAKIT ENDOMETRIOSIS

Daripada tanda-tanda tersebut kita sering mengesyaki pengidap penyakit endometriosis dan ini dapat disahkan melalui beberapa pemeriksaan serta ujian. Apa yang biasa dilakukan yang mempunyai tanda-tanda ialah pemeriksaan kemaluan dan dari situ doktor dapat mengesan kedudukan rahim mungkin jatuh ke belakang (retroverted) dan bila disentuh bahagian belakang rahim ia akan merasa kesakitan. Ujian ultrasound melalui faraj (vaginal sonography) adalah sangat penting kerana ia boleh mengesan tumbuhan cyst pada bahagian kilang telur.

RAWATAN PENYAKIT ENDOMETRIOSIS

Oleh kerana kebanyakan daripada mereka yang bertemu doktor mengalami ketidaksuburan ataupun berulangkali gugur yang mungkin disertai oleh senggugut, mereka memerlukan rawatan yang sewajarnya. Yang penting sekali tujuan rawatan ialah untuk wanita tersebut hamil, kerana keadaan hamil boleh mengawal pertumbuhan atau menghapuskan sama sekali penyakit endometriosis ini.

PEMBEDAHAN UNTUK MEMBUANG ENDOMETRIOSIS

Jika terdapat ´chocolate cyst´ ataupun keadaan rahim yang terbalik (retroverted) pembedahan akan dilakukan. Biasanya saya sendiri mencadangkan pembedahan secara laparoscopy disertai dengan pembedahan kecil pada bahagian bawah perut dengan irisan lebih kurang dua atau tiga inci untuk membuang tumbuhan ´cyst´ serta untuk membersihkan dan membuat cautery atau tembakan pancaran laser pada bahagian-bahagian yang terkena tumbuhan endometriosis.

Pembedahan ini juga membolehkan doktor membetulkan rahim dengan menjahit rahim ke otot perut di bahagian hadapan (ventro-suspension of the uterus). Setelah ini dilakukan, bahagian peranakan serta bahagian sekitarannya akan dibasuh dengan cecair untuk menghilangkan segala kotoran dan keracunan yang dikeluarkan oleh endometriosis. Jika terdapat kesumbatan pada saluran fallopian ketika pembedahan, keadaan ini juga boleh diperbetulkan sekali.

Selain daripada secara pembedahan, rawatan dengan ubat-ubat sering juga dilakukan. Di pasaran terdapat banyak ubat-ubat hormon yang digunakan di antaranya hormon-hormon Progesterone yang mana diantara jenamanya ialah Primulut, Norculut atau lainnya yang digunakan selama enam hingga sembilan bulan dengan tujuan untuk menghentikan haid. Juga terdapat ubat-ubat seperti Danazol yang mana tujuannya adalah sama, iaitu untuk menghentikan haid dan mengurangkan tumbuhan endometriosis ini.

Dalam beberapa tahun yang lepas ubat-ubat terbaru yang diberikan secara suntikan sebulan sekali dan terdapat pelbagai jenama seperti Zoladex dan lain-lain untuk digunakan selama enam hingga sembilan. Suntikan-suntikan tersebut agak mahal sedikit dan ia memberi kesan sampingan seperti yang dialami oleh wanita yang sedang putus haid manakala kesan sampingan yang lain seperti apabila memakan pil Danazol ialah perubahan-perubahan yang menimbulkan sifat kelelakian seperti tumbuh rambut dan suara menjadi kasar. Peningkatan timbang berat juga merupakan satu kesan sampingan.

Pembedahan untuk membuang rahim dan ovari juga satu rawatan yang akhir bagi mereka mengalami penyakit endometriosis yang teruk sekali dan semua organ seperti rahim dan kilang telur telah rosak. Ia mungkin tidak berfungsi lagi dari segi kesuburan dan daya upaya untuk hamil. Di samping itu ia menyebabkan masalah kesakitan yang amat sangat setiap bulan ataupun secara berterusan dan mengganggu kerja harian. Ia mungkin juga menimbulkan gangguan haid yang tidak terkawal yang mengganggu kehidupan seharian, hubungan suami isteri dan juga mengganggu wanita-wanita kita untuk membuat amal ibadah

0 ulasan:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Di Sini Cerita Kedai Kopi

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

 

Copyright © Cerita Kedai Kopi