“Sungguh ajaib hakikat penciptaan hati ini. Kelajuan perjalanannya tidak terhitung lajunya dan ruang gerakannya tiada batas sempadan tempat. Bahkan bila jasad mati, hati terus hidup di alam Barzakh sehingga ke alam Akhirat.”
Pernahkah kita terfikir ada suatu keajaiban di dalam diri kita yang kita sendiri tidak mampu mengawalnya? Ia diberi keupayaan untuk merasa senang dan susah. Ia juga sangat sensitif terhadap apa yang berlaku, yang didengar, dilihat dan dirasa. Dari sanalah ia menentukan sikap kita sama ada positif atau negatif. Yang peliknya, ia boleh bertukar-tukar rasa. Adakalanya dia rasa senang bila dipuji, rasa menderita apabila dikeji.
Rasa riak dan megah pula timbul bila mendapat kelebihan dan kejayaan. Hairan dengan diri bila mampu buat sesuatu yang orang lain tidak mampu. Tapi tiba-tiba rasa rendah diri dan hina diri bila ada kekurangan. Rasa sombong dan angkuh apabila berkuasa dan memiliki ilmu lebih dari orang lain. Rasa marah bila dihina orang. Rasa tidak senang bila tengok orang lain dapat lebih. Berdendam pula bila ada orang menganiaya diri. Simpati dan belas kasihan bila melihat orang kesusahan. Rasa keluh kesah bila mendapat kesusahan dan ditimpa penyakit. Rasa terhutang budi dan berterima kasih kepada orang yang menolong kita. Rasa gerun bila berdepan dengan sesuatu yang menakutkan. Rasa jijik pula bila berdepan dengan benda-benda kotor. Itulah dia hati atau roh.
Memang sungguh ajaib hakikat penciptaan hati ini. Kelajuan perjalanannya tidak terhitung lajunya dan ruang gerakannya tiada batas sempadan tempat. Bahkan bila jasad mati, hati terus hidup di alam Barzakh sehingga ke alam Akhirat. Hati atau rohlah yang akan menanggung azab dan nikmat yang dilakukan oleh jasad lahir semasa hidup di dunia.
Tempat letaknya roh ini ialah di dalam hati jasmani. Hati manusia berbeza dengan hati haiwan. Hati manusiaboleh menerima perintah dan larangan dan dipanggil rohul amri. Manakala roh haiwantidak boleh menerima perintah dan larangan dipanggil rohul hayah.
Yang ajaibnya, hati yang boleh beralih-alih rasa itu, ia sebenarnya boleh dirangsang oleh faktor-faktor luar. Perasaan ini pula akan mempengaruhi sikap lahir manusia. Kalau rasa baik, baiklah tindakannya dan kalau rasa jahat, maka jahatlah tindakannya. Dengan kebolehan inilah hati seolah-olah raja yang bertakhta di dalam diri manusia. Dialah bakal menentukan baik buruknya manusia. Namun ia ada penasihat iaitu akal. Sementara anggota-anggota lahir sebagai rakyat jelata yang sentiasa menurut perintahnya.
Sepertimana yang berlaku di dalam sesebuah kerajaan, pasti ada sahaja musuh yang suka melihat sesuatu kerajaan itu kucar-kacir. Begitu juga di dalam diri manusia, nafsu dan syaitan merupakan musuh utama roh manusia. Begitulah rupanya struktur kerja yang berlaku di dalam diri manusia yang perlu difahami dan diberi perhatian.
Kerana baik jahatnya seseorang manusia sangat bergantung kepada pengurusan yang ada di dalam diri manusia itu. Siapa yang mengabaikan hati, ertinya dia membiarkan dirinya berjalan di dalam keadaan yang gelap dan meraba-raba hingga menyebabkan banyak benda yang dilanggarnya. Kalau di dunia pun nasibnya belum tentu selamat apalagi kalau di Akhirat nanti.
Sebab itu Allah memerintahkan supaya kita mendidik hati kita supaya sentiasa berlaku taat kepada-Nya sepertimana
maksud firman-Nya:
“Beruntunglah siapa yang membersihkan hatinya dan rugilah siapa yang mengotorinya.” (As Syams :9)
“Pada hari itu, tidak berguna lagi harta dan anak-anak. Kecuali mereka yang pergi menghadap Allah dengan membawa hati yang selamat.” (Asy Syuara: 88-89)
Bagaimana sepatutnya hati seorang mukmin itu?
1. Sensitif dengan Tuhan.
Merasa takut dan gerun dengan kekuasaan Allah. Allah boleh berbuat apa sahaja tanpa perlu berunding dengan manusia. Manusia terlalu lemah untuk menolak sebarang takdir Allah. Katalah berlaku banjir di suatu kawasan perumahan, kalaupun mereka yang tinggal di situ adalah golongan yang berharta dan mempunyai kuasa, tapi mampukah mereka mengalihkan banjir ke kawasan lain? Sudah tentu tidak mampu. Mereka mampu sekadar menyelamatkan diri, kalaupun belum terlewat. Begitulah bukti lemahnya manusia.
2. Orang mukmin bila mendapat kejayaan, nikmat, kemudahan hidup, kelapangan hidup, hatinya terasa syukur kepada Allah.
Dia merasakan semua itu pemberian Allah, bukan hasil usahanya. Kalaupun dia berusaha tapi bila Allah tidak izinkan, pasti dia tidak mampu melakukannya. Sebagai contoh, berapa ramai di kalangan tokoh-tokoh korporat yang dulunya menguasai perniagaan tapi terpaksa menanggung hutang yang banyak bila menghadapi kemelesetan ekonomi. Sebab itu bagi orang mukmin, kalau keuntungan dan nikmat diperolehi, dia merasa terhutang budi dan malu dengan Allah. Walaupun dirinya masih banyak melakukan dosa dan tidak membuat apa-apa bakti kepada Allah, namun Allah sudi lagi mengurniakan berbagai-bagai nikmat kepadanya.
3. Jika terbuat dosa, sekalipun dosa kecil, apalagi kalau dosa besar, hatinya akan merasa resah gelisah, takut dan hilang ketenangan.
Rasa menyesalnya bukan kepalang. Dia merasa bersalah dengan Tuhan. Bersungguh-sungguh dia meminta ampun kepada Tuhan. Bukan sahaja matanya menangis, hatinya pun turut menangis sama mengenangkan kejahatan yang dilakukan. Yang paling ditakutinya bila dosa tidak terampun, bermaksud tentulah Allah tidak redha kepadanya. Tanpa keredhaan Allah hilanglah bahagia di dunia lebih-lebih lagi di Akhirat.
4. Hati orang mukmin sentiasa rasa di awasi Tuhan.
Allah mendengar, melihat, mengetahui apa sahaja yang dilakukan setiap detik, setiap masa dan ketika. Semua manusia tidak terlepas dari pengawasan-Nya. Kerana itu, orang mukmin sangat menjaga hukum dan perintah Allah walaupun berhadapan dengan keinginan nafsu yang sedang memuncak.
5. Kalau diuji oleh Tuhan, hati orang mukmin sabar dan redha. Bahkan tenang dengan ujian dan kesusahan hidup.
Dia bersangka baik dengan Allah bahawa ujian adalah untuk penghapusan dosa atau peningkatan darjat di sisi Tuhan. Kalau diuji dia tidak pun melatah, marah-marah, keluh kesah, apalagi merungut-rungut dan mengungkit-ungkit. Sekalipun difitnah, ditohmah, dihina, disakiti, atau ditimpa bencana alam, dia sedar kesemuanya merupakan ujian dari Allah dan Allah tidak bermaksud untukmenyusahkan hamba-Nya melainkan ada hikmah di sebalik kejadian tersebut.
6. Hati orang mukmin sangat merendah diri dengan Tuhan.
Dari setitis air mani yang hina, manusia terlalu lemah dan tiada kuasa apa-apa yang boleh dilakukannya kalau bukan dengan kehendak Allah. Setiap detik manusia memerlukan Tuhan di dalam hidupnya.
7. Sentiasa terkenang nikmat-nikmat Allah yang terlalu banyak yang belum pun sempat di hitung, Allah tambah lagi nikmat-Nya.
Nikmat ilmu, nafas, akal, air, makanan, harta, anak isteri, bumi, langit, haiwan, tumbuhan dan seluruh alam semesta yang tidak pernah kita minta. Allah jadikan kesemuanya itu untuk keperluan manusia. Berapa banyak nikmat yang tidak kita minta dan belum pun kita syukuri telah Allah berikan.
Justeru itu sepatutnya kita malu bila mendesak-desak Tuhan supaya kabulkan permintaan kita yang belum Dia tunaikan. Begitulah Maha Baiknya Tuhan yang setiap detik memberi nikmat tanpa meminta kita membalasnya.
Begitulah beberapa ciri hati orang mukmin yang sepatutnya kita rasakan. Hati yang dapat merasakan perkara-perkara di ataslah hati yang membawa keikhlasan, kejujuran, kasih sayang dan harmoni di dalam masyarakat. Akhirnya dari hati inilah yang akan membuahkan keamanan, kedamaian dan kebahagiaan yang diidam-idamkan. Tetapi kalau di dalam hati penuh dengan sifat hasad dengki, pemarah, tidak boleh berlapang dada, sombong, iri hati, salah menyalahkan orang lain dan berbagai-bagai lagi sifat yang negatif, mustahil akan melahirkan masyarakat yang harmoni. Justeru itu mari kita sama-sama membina hati yang baik agar segala masalah yang kronik dapat diselesaikan dengan segera.
0 ulasan:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Di Sini Cerita Kedai Kopi