Wednesday, October 31

Berbanggalah Menjadi Muslim

Nikmat Iman dan Islam merupakan suatu anugerah yang tiada galang gantinya dalam kehidupan insan. Maka, amatlah rugi sekiranya Islam dan ajarannya tidak dipraktikkan semaksima mungkin oleh kita. Islam, menerusi dustur utamanya iaitu Al-Quran dan Sunnah, telah 'menghidangkan' pakej lengkap untuk menjadi asas panduan hidup. Hidup dengan kebahagiaan yang hakiki.


Sebagaimana Firman Allah dalam Surah As-Saff, ayat 10-11 yang bermaksud:


"Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya?Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya)"


Berbangga memegang status sebagai Muslim seharusnya sentiasa terpatri di dalam jiwa kita. Sebagaimana bangganya kita menjadi warga sesebuah negara yang berdaulat dan merdeka. Malahan lebih daripada itu. Kecintaan dan taat setia kepada tanahair menjadikan kita taksub dan rela berkorban apa sahaja untuk kepentingannya. Itu tidak salah kerana ada pepatah menyatakan;


"hubbul waton minal iman" yang bermaksud "cintakan tanahair itu sebahagian dari iman".

Tatkala kita renungkan seketika, kita dapat lihat rakyat di negara bergolak seperti Syria, Palestin dan Myanmar pada waktu ini bermati-matian memperjuangkan agama dan tanah kelahiran mereka. Selain cintakan agama, rasa mahabbah pada tempat tumpah darah menjadikan mereka gagah sebagai pejuang sejati. Tanpa latihan perang dan senjata yang sistematik, lawan dicabar dengan tiada rasa gentar. Lantaran itu, syahid adalah matlamat terakhir mereka ketika kesemua kudrat telah dicurahkan demi memperjuangkan nusa yang tercinta.


Alhamdulillah, bertapa bertuahnya kita di bumi Malaysia. Allah berikan kemudahan dan kelapangan untuk kita melaksanakan 'ketaatan' kepada Allah SWT. Rasa amat bahagia taktala dapat melaksanakan ibadah dengan penuh kesyukuran. Berdoalah semoga istiqamah atau konsisten di dalam melaksanakannnya. Moga tiada istilah hanya 'hangat-hangat tahi ayam' dalam pengamalannya. Nauzubillah Min Dzalik. Minta dijauhkan oleh Allah sejauh-jauhnya. Amiin.


Jenama Barat 'Dibanggakan'

Namun, di sebalik peluang dan kebaikan yang Allah berikan, segelintirnya mudah lupa dengan nikmat Iman dan Islam yang dianutinya. Sebahagiannya merasa malu apabila Islam menjadi identiti dirinya. Sejak dijajah oleh kolonial barat hingga hari ini, label atau budaya penjajah lebih suka dijadikan identiti. Apabila bergaya dengan sesuatu yang diimpot daripada Eropah misalannya, empunya diri terasa begitu bangga. Dilema Muslim yang kurang bangga mempromosikan cap mohor Islam semakin menebal di dalam diri anak-anak muda. Mereka merasakan, Trend bersifat 'islamik' itu tidak menepati kemodenan yang ada. Bersifat konservatif dan kurang memenuhi citarasa antarabangsa.


Dalam keghairahan mempromosikan budaya lain, ada yang tidak perasan sedang mempromosikan jenama produk yang tidak halal seperti rokok, kelab malam dan minuman keras. Amat menyedihkan apabila lambang produk tersebut terletak betul-betul di dada baju si pemakainya.

0 ulasan:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Di Sini Cerita Kedai Kopi

SocialPromoter
Exabytes SiteLock
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

 

Copyright © Cerita Kedai Kopi