Friday, October 19

Golongan agama, pangkat dan darjat


Amin Iskandar adalah penerima anugerah zamalah Asian Public Intellectuals (API) bagi sesi 2009-2010. Beliau memblog diwww.aminiskandar.blogspot.comdan "berkicau" diwww.twitter.com/aminiskandar.

15 OKT — Membaca tulisan Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin bertajuk “Saya hanya rakyat marhaen” memberikan sedikit keinsafan dalam hati.

Keinsafan kerana Asri bukanlah seperti golongan agama yang saya sering pandang hina sebelum ini.

Golongan agama yang dimaksudkan sudah pasti dari agama Islam di Malaysia.

Jujurnya, sebelum ini, saya sering memandang hina kepada golongan agama oleh kerana mereka lebih saya lihat kepada pedagang.

Bezanya golongan ini dengan penjual ubat-ubat kuat di Chow Kit adalah produk mereka terdiri daripada Syurga dan Neraka.

Akan tetapi Asri berbeza dengan golongan-golongan ini.

Ada juga beberapa lagi yang saya hormati.

Apabila Asri sampai ke Kota London untuk menjadi Felo Pelawat disebuah universiti terkemuka, saya melihat beliau menjadi semakin progressif.

Semakin berani melontarkan pandangan-pendangan yang mungkin tidak menyenangkan penguasa.

Tulisan “Saya Hanya Rakyat Marhaen” keluar selepas beberapa peminat bekas Mufti Besar Perlis itu menghantar surat kepadanya menyatakan ketidakselesaan mereka untuk memanggil beliau dengan gelaran “Datuk”.

“Baru-baru ini setelah pulang ke Malaysia dan saya terlibat dengan banyak program, seringkali nama saya diiklankan bersama gelaran Datuk, beberapa orang menghantar pandangan kepada saya dengan sungutan seakan ‘alangkah baiknya jika Dr Asri ataupun Dr MAZA itu kekal dengan panggilan asalnya. Itu lebih mesra dan dekat di hati kami.’ Saya terkesan dengan hal itu.

“Sebenarnya, anugerah yang diberikan kepada saya itu, hanyalah atas kemurahan hati pihak Istana Perlis sahaja. Dari segi jasa, tiada apa jasa besar saya untuk disebut ataupun dikenang.

“Dari segi harta, jika gelaran Datuk itu sering dibayangkan orang yang berharta, maka saya tidak termasuk untuk dibayangkan. Saya tidak berharta, melainkan sekadarnya seperti rakyat kebiasaan yang lain.

“Sehingga artikel ini ditulis, jika anda berjumpa saya di hotel mewah, itu biasanya ada penganjur program yang sewakan untuk saya. Jika anda bertemu saya dalam kereta mewah, itu menunjukkan ada orang bermurah hati menumpangkan saya. Rezeki masa depan hanya Allah Yang Tahu,” tulis Asri dalam artikel “Saya hanya rakyat marhaen”.

Apa yang dicoretkan oleh Asri ini dapat saya rasakan sebagai coretan ikhlas dari hatinya.

Golongan agama selalunya akan merasa malu jika dikaitkan dengan kekayaan, pangkat atau darjat.

Sekurang-kurangnya inilah yang saya faham melalui pembacaan dan pemerhatian.

Mujurlah Asri masih lagi belum menerima lamaran dari parti-parti politik baik dari Barisan Nasional (BN) mahupun Pakatan Rakyat (PR).

Kekallah beliau sebagai “Mufti Rakyat”, tempat rujukan bagi orang bawahan dan golongan Mastadh’afin (Golongan Tertindas) dan janganlah sekali-kali bersama golongan Mustakbirin (Golongan Penindas).

“Saya lebih rela negara sekular, saya lebih suka negara yang memisahkan agama daripada politik kalau agama digunakan untuk kepentingan politik.

“Sekurangnya agama kita selamat, yang kena orang politik sahaja," katanya dalam sebuah wawancara bersama akhbar tempatan baru-baru ini.

Benar seperti apa yang dikatakan oleh Asri.

Melihat Malaysia pada hari ini, adalah lebih baik negara dijadikan negara sekular.

Islam boleh kekal sebagai agama rasmi akan tetapi politik dan Islam itu lebih baik dipisahkan kerana apa yang ditonjolkan pada hari ini, lebih banyak menunjukkan keburukkan daripada kebaikkan Islam itu sendiri.

Ada juga seorang ahli politik daripada sebuah parti Islam yang saya kenali menolak gelaran Datuk sepertimana dilakukan oleh bekas timbalan perdana menteri (TPM), Tun Abdul Ghafar Baba yang pada ketika menjadi TPM, masih lagi bergelar "Encik".

Tidak salah menerima gelaran Datuk, Datuk Seri, Tan Sri dan lain-lain, akan tetapi jika itu dijadikan sebab untuk merasakan diri lebih hebat daripada yang lain, itu penyakit namanya.

0 ulasan:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Di Sini Cerita Kedai Kopi

SocialPromoter
Exabytes SiteLock
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

 

Copyright © Cerita Kedai Kopi