Dalam penantian seluruh negara yang nampaknya tak sabar untuk menerima pelbagai bentuk bantuan ‘one off’ tanpa sedar akan perangkap masa yang telah terpasang seperti GST, kenaikan tariff elektrik dan kos sara hidup, di bawah teduh gelegar gereja, UMNO menjenamakan semula formulasi mereka mengharap belas ehsan penganut ajaran Isa Al-Masih dan berkah paderi-paderinya namun kecundang.
Kalau dulu PAS dituduh mempergunakan surau, masjid dan Islam bagi kepentingan politik kepartian. Hari ini, giliran DAP pula dituduh memperguna gereja sebagai tempat kempen politik.
Bagi pemerhati politik, UMNO makin tersepit disebalik transformasi ekstrem populis Najib pasca K-Pop Hari Sejuta Belia. Peralihan strategi propaganda perang UMNO ke gereja ini merupakan eksperimen senjata politik baru. UMNO-BN sedang mencaturkan sesuatu untuk melepaskan leher mereka dari cengkaman pelbagai persoalan dan permasalahan ekonomi rakyat dan negara yang kritikal. Jerutan makin menguat, apakah UMNO-BN bakal hidup lebih panjang?
Siapa heret gereja: Utusan spin lagi?
Akhbar Utusan Malaysia edisi Ahad; Mingguan Malaysia semalam dalam tajuk muka depannya “Jangan heret gereja” memuatkan reaksi dua tokoh Kristian yang menyatakan rasa kurang senang terhadap ucapan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng ekoran kenyataannya agar gereja memainkan peranan ‘menyuarakan keadilan untuk semua; menentang ketidakadilan’.
“Gereja bukan tempat sesiapa untuk berceramah tentang politik.” kata Rt. Rev. Dr. Solomon Rajah sepertimana petikan dalam Mingguan Malaysia semalam.
Malangnya, dalam satu sidang media yang dibuat semalam, ternyata laporan Mingguan Malaysia itu tidak tepat dan pihak gereja menuntut supaya akbar tersebut itu menarik balik laporan mereka berkenaan dan mengeluarkan permohonan maaf dalam edisi mereka selepas ini.
Menurut Rajah, apa yang berlaku ialah pemberita akhbar berkenaan hanya menghubungi mereka untuk mendapatkan pandangan secara umum mengenai ‘gereja dan politik’ dan bukan respon kepada dialog antara ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dengan pemimpin gereja di negeri tersebut.
“Saya tidak pernah perasan bahawa kenyataan saya akan dipetik secara salah (atau apa yang saya katakan) disalah anggap.
“Saya tidak pernah menjangka bahawa pandangan saya akan digunakan untuk tujuan dan agenda Utusan,” kata Rev. Rajah
UMNO-BN telahpun gagal menyediakan sebuah kerangka konkrit menjana kesinambungan ekonomi jangka masa panjang. Pada masa yang sama terpaksa terus-terusan mencipta persepsi mungkin sekurang-kurangnya dapat mengalihkan perhatian rakyat terhadap isu sebenar dalam memperbaiki kesinambungan kepercayaan rakyat terhadap mereka! Klise bukan? Tetapi ini adalah hakikat yang tidak boleh dinafikan.
Kenyataan Bishop yang diputarbelit Utusan sekali lagi cuma menjatuhkan maruah mereka sendiri. Atau, mereka fikir rakyat Malaysia masih bodoh dengan pola fikir ‘subsidi’ semata-mata.
Apapun, kita harus meneliti dan pergi lebih jauh dalam memahami ‘kejuruteraan politik-agama’ yang digunakan UMNO-BN dalam membentuk persepsi, perpecahan dan pemikiran masyarakat Malaysia umumnya.
Dulu PAS, sekarang DAP
Kalau dulu DAP dituduh mahu menubuhkan ‘kerajaan Kristian Malaysia’ walaupun bukan sebuah parti berasaskan agama, kini propaganda UMNO tersebut diperluaskan melalui sensasi media. Kes ini serupa seperti yang telah berlaku terhadap PAS.
Malah kita jangan berasa hairan jika selepas ini UMNO mengorak langkah ke hadapan dan berjaya mewujudkan lagi jurang perbezaan mungkin juga menyemai permusuhan antara Kristian aliran Katolik dan aliran Protestan. Sepertimana UMNO juga berjaya mencipta tembok penghadang dengan propaganda antara Islam arus perdana dan Islam PAS yang kononnya jumud .
Kejuruteraan politik-agama UMNO bakal bawa petaka
Disebalik segala kemungkinan dan kejayaan UMNO membina dan mencorak ‘kejuruteraan politik-agama’ mereka, kita melihat ia juga merupakan salah sebuah kaedah pecah dan perintah amalan mereka sejak zaman-berzaman. Jika dibiarkan, ia akan membawa petaka besar buat keharmonian kemajmukandan keberagaman pelbagai faham aliran maupun agama di Malaysia.
Misalan mudah, sejak era “Islam Moden dan proses Islamisasi ala-Mahathir”, dalam beberapa ruang masa yang lalu, UMNO menghenyak PAS dengan kapasiti maksima untuk menakutkan masyarakat bukan Islam terhadap ‘negara Islam PAS’ ketika itu sebelum 2008 dan pada masa yang sama semena-mena pula muncul pula ‘Islam baru’ yang mendapat redha kerajaan BN iaitu gagasan pemikiran Islam Hadhari Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Nah, sekarang isu “DAP heret gereja” ini sudah tercetus dan rakyat Malaysia harus berwaspada. Rakyat telah pun belajar dan sedar dalam waktu yang tidak singkat, kita tahu bahawa kekuasaan UMNO-BN selama ini berdiri di atas perpecahan masyarakat; samada atas hegemoni isu agama, perkauman dan sebagainya.
Biarpun gereja tidak lagi ikut campur secara langsung terhadap urusan politik bernegara pasca pencerahan Eropah abad ke 18 dan bermulanya era sekularisme dunia, pertanyaan saya, apakah kenyataan Guan Eng yang menyeru agar penganut Kristian ‘menentang ketidakadilan’ sebagai dosa?
Hanya waktu menentukan, selepas ini apakah ada pihak gereja lain pula yang bakal menjadi mangsa UMNO dalam permainan politik jahat mereka sebagaimana mereka memangsakan PAS dengan Islam yang diperjuangkan selama ini? Pada tuhan kita berserah. Hanya tuhan yang maha mengetahui.
0 ulasan:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Di Sini Cerita Kedai Kopi