Thursday, November 29

Peristiwa Nakbah: Pedulikah Kita?

GAZA CITY 15 Mei - Rakyat Palestin semalam memperingati hari ulang tahun ke-62 peristiwa Naqba atau 'malapetaka' berpunca daripada penubuhan negara Israel, dan menuntut hak bagi beratus ribu penduduk Palestin yang diusir dari kampung halaman mereka untuk kembali ke tanah air mereka yang dirampas Israel.

Tunjuk perasaan dilancarkan di Genting Gaza yang diperintah oleh Hamas dan di Lebanon, negara yang menempatkan kira-kira 400,000 pelarian Palestin.

Ketua perunding damai Palestin, Saeb Erakat membidas Israel kerana 'tidak menghiraukan undang-undang antarabangsa'.

Kira-kira 3,000 penduduk mengadakan tunjuk perasaan di kem pelarian Jabaliya di Gaza dalam protes anjuran Hamas, sementara bilangan yang sama menyertai demonstrasi anjuran Jihad Islam di kem pelarian Nuseirat.

"Kita tidak akan melepaskan hak pelarian untuk pulang ke pekan dan kampung asal mereka," kata seorang pemimpin Hamas, Muin Mderes kepada orang ramai di Jabaliya. Beliau menggesa semua pejuang Palestin bersatu menentang Israel.

Kerajaan Israel enggan membenarkan pelarian Palestin atau keturunan mereka pulang ke kampung halaman mereka yang ditinggalkan pada 1948 selepas penubuhan negara Israel kerana khuatir kepulangan besar-besaran mereka akan mengancam negara Israel serta 5.7 juta penduduk Yahudi.

Pemimpin Jihad Islam, Mohammed al-Hindi menyeru 'seluruh penduduk Palestin, Arab dan Islam supaya menyokong jihad dan perjuangan menentang Israel dan bersiap sedia untuk menghadapi pertempuran dengan musuh'.

Kanak-kanak yang turut menyertai protes di Gaza membawa anak kunci ke rumah-rumah yang ditinggalkan oleh datuk nenek mereka berikutan penubuhan Israel.


Kira-kira 700,000 penduduk Arab melarikan diri atau diusir dari rumah mereka.

Dalam perutusan sempena hari ulang tahun Naqba, Erakat menegaskan bahawa pelarian Palestin yang bersama-sama keturunan mereka kini berjumlah 4.7 juta orang berhak untuk pulang ke kampung halaman mereka.

"Dalam sebarang konflik, hak-hak pelarian ditunaikan dan dihormati, termasuk hak untuk kembali, mendapat semula harta mereka dan mendapat ganti rugi.

"Sebaliknya, Israel enggan mengiktiraf hak Palestin untuk pulang, dengan terus menafikan hak paling asas bagi orang pelarian," kata Erakat.

Sumber: Utusan Online, 16 Mei 2010

0 ulasan:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Di Sini Cerita Kedai Kopi

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

 

Copyright © Cerita Kedai Kopi