Monday, October 22

Lelaki baik hati atau lelaki alim, mana satu patut dipilih??

Saya telah menerima satu email dari salah seorang kenalan (namanya terpaksa saya rahsiakan), yang mengadu mengenai permasalahan hati yang dihadapinya. Dia kebingungan dalam memilih pasangan hidup yang sesuai untuk dijadikan suami.

Saya tak mahu cerita panjang. Cuba baca email beliau yang saya kongsikan di bawah ini.


Salam..saya ingin meminta pendapat saudari tentang permasalahan yang saya hadapi. Begini ceritanya. Saya berusia 24 tahun dan baru sahaja menghabiskan pelajaran dalam bidang perguruan, kini sedang menunggu untuk di hantar mengajar ke mana-mana negeri.

Begini ceritanya, saya telah menjalinkan hubungan dengan seorang lelaki, juga seorang guru. Saya namakan Si A. Dia sangat baik orangnya, seorang yang mudah diajak berbincang, sangat rajin membantu. Berasal daripada kampung membuatkan dia boleh diharapkan untuk membuat kerja-kerja kampung seperti membaiki dan sebagainya. Masalah saya ialah, ilmu agamanya amat cetek. Dia tidak pandai mengaji Al-Quran. Jika dahulu, dia pernah bercerita bahawa dia seorang yang tidak cukup solatnya, namun setelah berjumpa dengan saya, solatnya mula terjaga.

Dia juga pernah menyuarakan pada saya untuk belajar mengaji Al-Quran serta doa-doa lain setelah berkahwin. Saya bukanlah sangat arif dalam bidang agama, namun dengan sedikit ilmu yang pernah dipelajari semasa di Sekolah Agama dulu, saya rasa mampu untuk menjadi bekalan pada diri saya. Bila diperhatikan, adik-beradiknya yang lain juga tidaklah mempunyai ilmu agama yang baik. Kesemua adik-beradiknya juga tidak khatam Al-Quran dan abangnya ada yang bekerja sendiri di kampung.

Walaupun begitu, saya amat senang dengan perlakuannya. Dia seorang periang, pandai membuat lawak. Umurnya 3 tahun lebih tua daripada saya membuatkan saya lebih hormat padanya dan selalu mendengar katanya. Saya mencintainya. Dia sangat pemurah dan mudah member wang kepada sesiapa pun bila dia ada duit. Namun, jika duitnya sudah habis, dia akan meminjam wang daripada saya.

Sementara itu, saya juga rapat dengan seorang jejaka yang agak tinggi ilmu agamanya. Saya namakan Si B. Dia baru sahaja diterima untuk bekerja di Pelantar Minyak. Keluarganya daripada keturunan yang baik. Buktinya, ayahnya seorang Qari di kampung dan abang-abangnya selalu dipilih untuk memberi khutbah di masjid semasa solat Jumaat. Adik-beradiknya yang lain ada yang bekerja sebagai doktor, guru, ada yang masih belajar di Mesir, India dan IPTA tempatan. Bagi saya, keturunannya boleh dikatakan daripada cerdik pandai. Masalahnya, perasaan saya padanya tidak sekuat perasaan saya pada Si A. Apabila saya berada dekat dengannya, ada sahaja perlakuannya yang membuat saya marah. Saya sering menengkingnya. Saya rasakan bila saya berkahwin dengannya saya tidak akan menjadi isteri yang baik padanya dan tidak dapat menghormatinya. Mungkin kerana umur kami yang sebaya membuat saya tidak menghormatinya. Saya pun tidak faham kenapa dengan saya. Padahal Si B sanga baik dan amat mengejutkan bila mengetahui Si B telah menyimpan perasaan pada saya sejak 9 tahun yang lalu. Dia sangat mencintai saya, sabar menunggu kata putus dari saya.

Tolonglah saya untuk membuat pertimbangan sewajarnya. Adakah saya mahu meninggalkan Si A yang terkapai-kapai mencari ilmu? Jika saya memilihnya, adakah dia akan berubah? Mampukah saya untuk mengajarnya mendalami agama nanti? Egokah dia untuk belajar mengaji Al-Quran dengan isterinya sendiri? Bagaimana pula sikapnya yang suka meminjam duit itu?

Jika saya memilih si B, bagaimana dengan kasih sayang saya terhadapnya? Mampukah saya pupuk perasaan itu selepas berkahwin? Jauh di sudut hati, saya menginginkan seorang lelaki yang boleh memimpin keluarga saya. Saya selalu terfikir bila kedua ibu bapa saya tiada nanti, siapakah yang akan mengetuai majlis membaca Yasin dan tahlil? Saya juga mahukan zuriat-zuriat yang baik dan bijak hasil daripada keturunan yang baik. Bantulah saya.

Ini jawapan saya.


Terlebih dahulu, saya mohon maaf kepada pengirim email, sebab saya hanya dapat menjawab secara ringkas, menulis sekadar apa yang terlintas di fikiran ketika ini.

Pertamanya, kembali lah kepada asas….iaitu AGAMA! Dalam islam telah diberi panduan bagaimana untuk memilih pasangan.


Islam menitikberatkan soal pemilihan pasangan seperti pesanan Nabi SAW bersabda dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

“Perempuan itu dinikahi kerana empat perkara, kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya, dan kerana agamanya, lalu pilihlah perempuan yang BERAGAMA nescaya kamu bahagia.”

Walaupun hadith ini menerangkan mengenai pemilihan seorang perempuan untuk dijadikan isteri, namun, ia juga boleh diaplikasikan dalam membuat pemilihan seorang suami.


4 Perkara iaitu harta, keturunan, kecantikan dan agama, perlu diambil kira sebelum membuat keputusan. Namun, dalam hal memilih suami, perkara mengenai kecantikan itu mungkin tidak perlu sangat.


Ingat, apa yang paling diutamakan dan lebih selamat untuk dunia dan akhirat ialah pilihlah kerana AGAMA nya…!!


Namun, jika masih masih ragu-ragu dalam membuat pilihan, maka dirikanlah Solat Istikharah dan Solat Hajat. Amalkan dan jangan tinggalkan…minta petunjuk dari Allah.


Pada saya, kedua-dua mereka mempunyai kelebihan tersendiri….


Perkara kedua ialah, Kalau ikut kata-kata orang tua, apabila ingin memilih pasangan, pilihlah yang mencintai atau menyayangi kita.


Rasanya anda sendiri boleh buat ujian pada pilihan hati. Lihat bagaimana tindak balas mereka serta bagaimana mereka mengatasi sesuatu masalah. (tak kisah la masalah perhubungan ke…masalah kewangan ke atau sebagainya…) Yang penting cuba beri ujian pada mereka untuk uji mereka.


Perkara ketiga ialah, pada saya anda sendiri telah dan lebih mengenali latar belakang keluarga kedua-dua calon itu. Jadi anda sendiri lah yang lebih tahu mana yang terbaik. Kalau anda tanya saya, saya hanya boleh mengagak dan membayangkan situasi anda berdasarkan info yang diberi.


Cuma, kalau tanya saya juga, pada pendapat saya, kedua-dua calon telah dididik berdasarkan latar belakang keluarga mereka masing-masing. Sebenarnya banyak perangai atau sikap kita sekarang adalah dibentuk oleh suasani pembesaran kita semenjak dari kecil. Jadi, pada saya latar belakang keluarga adalah sangat penting.


Pada pendapat saya, jika anda inginkan zuriat yang baik, pilih la dari keturunan yang baik-baik, yang boleh memimpin dari segi agama dan sebagainya. Yang boleh memberi nafkah zahir dan batin.


Memang tiada masalah jika mahu memilih yang baik budi dan akhlak walaupun kurang agama. Bahagia mungkin boleh dinikmati juga.


Tetapi pastikan bahawa ketua keluarga itu sudi merendahkan egonya untuk mendengar teguran atau nasihat isteri tu nanti. (Mengikut pengalaman saya, kebanyakan lelaki atau suami ni memang susah nak dengar cakap orang perempuan atau isteri. Ego suami sangat tinggi tau…huhuhu).


Pada saya, tiada istilah isteri yang perlu memberikan didikan atau ilmu agama kepada ketua keluarga, tetapi ia lebih kepada kesudian mencari ilmu agama bersama-sama. Itu lebih indah. Pergi ke kelas agama atau ceramah agama bersama-sama bagi mendalami ilmu agama. Bukan ia ditanggung oleh sebelah pihak saja. Apapun, kalau ikut tanggungjawab, SUAMI ITU WAJIB DIDIK ISTERI. Suami wajib ajar ilmu agama pada isteri. Bukan sebaliknya.


Maaflah, saya hanya menulis mengikut apa yang terlintas di fikiran. Saya tak mahu menyebelahi sesiapa sebenarnya, tetapi lebih kepada mahu mengajak anda berfikir dan membuat keputusan yang terbaik untuk diri dan masa hadapan anda. Fikirlah masak-masak dan mohonlah petunjuk daripada Allah dengan Solat Istikharah dan Solat Hajat.


Semoga anda dapat memilih calon terbaik untuk dijadikan suami anda, dunia akhirat, insyaAllah.


Sekian, itu saja yang dapat saya tulis. Selebihnya, saya serahkan kepada para pembaca sekalian. Kalau ada mana-mana pembaca yang mahu memberikan pendapat dan pandangan, dipersilakan. Semoga ianya dapat dijadikan panduan untuk kita semua.


Terima kasih


Comments
1 Comments

1 ulasan:

  1. waaa.... confiusnye klu berada dlm situasi mcm nih...

    solat istiqarah adalah jln terbaik.... hanya Allah swt yg tahu siapa yg di ciptakan untuk kita.

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Di Sini Cerita Kedai Kopi

SocialPromoter
Exabytes SiteLock
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

 

Copyright © Cerita Kedai Kopi