Friday, January 4

Kita dan Provokasi Orang Murtad


Saya melayari page-page dan account-account tersebut, lantas terfikir untuk menulis artikel ini.
“Kita dan Provokasi Orang Murtad.”
Semoga apa yang saya kemukakan ini akan membuahkan manfaat.
Provokasi Orang Murtad
Ketika saya melayari page-page dan account-account mereka yang telah murtad ini,  kelihatan pattern mereka sama. Mempersendakan Allah, Nabi Muhammad dan Al-Quran. Mereka akan mencarut, mencaci, memaki apa sahaja perkara yang terfikir dek minda mereka untuk memperlekehkan Islam dan kepercayaannya. Contohnya mereka akan membangkitkan hal masjid disambar petir contohnya, kemudian memaki Allah kerana tidak menyelamatkan tempat orang beribadah kepadaNya. Mereka juga akan melakukan apa sahaja tindakan yang boleh menyinggung orang Islam sebagai contoh mengupload gambar mereka sedang memakan khinzir.
Ini adalah apa yang akan kita jumpai di Page-page atau account-account Facebook orang/kumpulan yang murtad, terutama yang menggunakan bahasa melayu atau indonesia sebagai perantaraan.
Gayanya akan kelihatan seperti keanak-anakan, emosi membuak-buak, dan sekadar hendak menimbulkan kemarahan orang. Inilah provokasi.
Sepatutnya kita tidak termakan dengan provokasi sebegini.
Daripada berdebat dan melayan mereka, saya nasihatkan untuk membiarkan sahaja. Tinggalkan mereka, dan mereka akan kehilangan audiens. Apabila audiens mereka hilang, mereka sendiri akan tenggelam punca. Page-page dan Account-account provokasi sedemikian ini sebaiknya tidak dilayan.
Page-page dan account-account orang murtad yang patut dilayan adalah yang tidak memberikan provokasi. Tetapi yang membuka ruang perdebatan dan dialog. Yang mengemukakan dalil dan cuba membawa kepada rasionalisma. Page-page yang sebeginilah perlu wujudnya wira-wira Muslim yang intelektual, untuk mencurahkan hujah dan dalil kepada mereka, agar yang membaca di Page itu mendapat pencerahan daripada kedua-dua pihak.

Kita dalam Menangani Hal Ini.
Ramai orang kita bersikap reaktif. Ada sesuatu perkara berlaku, cepat sahaja hendak bertindak. Observasi jarang berlaku. Inilah yang membuatkan timbulnya fitnah dan lebih menyusahkan jalan perjuangan.
Contoh mudah kita lihat dalam isu menangani page-page dan account-account orang murtad ini, orang  kita kebanyakannya sibuk melayan page-page ini dengan maki hamun dan caci maki. Pada saya, amat kelakar apabila kita nak mempertahankan agama kita di hadapan orang murtad yang memperlekehkannya, dengan bahasa-bahasa kotor seperti bab*, motherfuc**r dan makian-makian melibatkan ibu bapanya seperti ‘kepala ba**k kau’ dan sebagainya. Ini jelas sekadar menjadi senjata mereka pula untuk berkata: “Ha, tengok perangai orang Islam. Sebab tu aku tinggalkan agama ni. Bajet je suci, orang-orang dia macak tah*” Sekaligus memberikan impak buruk kepada orang-orang di tepi pagar yang membaca, dari kalangan non-muslim atau muslim yang masih tidak jelas akan pegangan agamanya(biasanya muslim sekadar kerana Ibu bapanya Muslim).
Kerana itu, sebaiknya jika kita tidak mempunyai hujah yang baik, tidak mampu mempertahankan agama kita dengan cara yang baik melambangkan Islam, maka kita tidak perlu sibuk-sibuk hendak turut serta dengan page-page dan account-account yang sedemikian. Di manakah manfaatnya?
Kita perlu ingat betapa Allah SWT telah berpesan di dalam Al-Quran:
“Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.” Surah An-Nahl 125.
Jelas di sini Allah menyuruh kita untuk berdebat, berbahas dengan baik. Jika orang provok kita, memaki dan memperlecehkan kita, sepatutnya kita tidak melayan mereka dengan cara yang sama tetapi kita mempersembahkan tauladan dan contoh yang baik. Tidak perlu kita hendak mendoakan neraka buatnya, atau terus menakutkannya dengan azab kubur dan sebagainya(kerana dia telah murtad dan tidak mahu mempercayai semua itu) semata-mata untuk menunjukkan betapa benarnya kita(yang mungkin kerana nak tunjuk kita ini di pihak yang benar, agama yang benar, lantas kita rasa tidak mengapa kita kurang ajar dengan mereka dan memperlecehkan pula kembali mereka dengan bahasa yang kasar dan menyakitkan hati). Kerana itu indahnya Allah SWT, Dia menutup ayat ini dengan menyatakan betapa Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dan orang yang mendapat hidayah petunjuk. Tugas kita hanyalah berusaha mempersembahkan kebaikan yang Dia arahkan itu, kepada orang-orang yang telah murtad tadi.
Allah juga melarang hina menghina di dalam berdakwah. Hatta Tuhan mereka yang tidak kita iktiraf pun, kita dilarang menghina dan memperlecehkannya. Hal ini jelas di dalam firmanNya:
“Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan.” Surah Al-An’am ayat 108.
Maka nasihat saya, jikalah kita ini bukan dari kalangan yang punya hikmah dan keutuhan peribadi, sebaiknya tidak perlu kita campur page-page sebegini. Kerana kita sekadar memburukkan keadaan sahaja. Jika kita ini orang yang mudah marah, kaki mencarut, bersikap buruk, sebaiknya tidak perlu kita sibuk-sibukkan diri kita mahu berbahas dengan orang yang telah murtad, kerana kita sekadar menjadi liabiliti kepada kebersihan Islam itu sendiri.
Dan page-page sebegini, sepatutnya tidak kita layan. Biarkan sahaja.
Jika kita ada kebolehan berdebat, pandai mengutarakan hujah dengan baik, mempunyai bahasa yang menawan dan kefahaman yang utuh, carilah page-page orang murtad yang berbicara dengan baik kepada visitorsnya, bukan bahasa provokatif, penuh carutan dan perlecehan. Kerana Page sedemikianlah yang sebenarnya akan menawan hati ramai orang. Berbicaralah dengan fakta, dengan kebijakan, kemurnian bahasa, kecantikan akhlak dan kematangan diri.
Bukannya menyibukkan diri di dalam page dan account-account provokatif tadi. Page-page dan account-account provokatif itu sekadar untuk mencucuh marah kita dan akhirnya menjadikan kita ‘bukti keburukan Islam’ pula.

Murtad, Salah Siapa?
Sebelum saya menamatkan artikel ini, suka saya sentuh satu sebab mengapa hari ini gejala murtad berleluasa.
Saya ingin mengajak kita melihat kepada pemimpin-pemimpin negara kita, seterusnya barisan selebriti yang menghiasi kaca televisyen dan radio kita, seterusnya drama dan filem yang dibangunkan oleh majoriti pengusaha filem kita, kemudian pergi kepada kebanyakan majalah-majalah kita, dan akhbar-akhbar perdana kita.
Ceritakan pada saya, di manakah ‘Islam yang sebenar’ dalam semua itu?
Ya. Kemudian bayangkan, jika demikianlah ‘Islam yang kita persembahkan’, maka mengapa hairan dengan orang-orang yang lahirnya Islam, kemudian terkeliru dengan agamanya, melihat agamanya tiada beza dengan agama lain, kemudian murtad. Ya, mengapa hairan?
Suasana yang mendidiknya. Dan kitalah yang membentuk suasana itu.
Mana tidaknya mereka boleh tercampak dalam kekeliruan ini, apabila ada slot televisyennya “Fiqh Wanita” atau “Kuliyyah Agama” kemudian dalam slot lain ditayangkan pula artis berpakaian tidak cukup kain, hubungan bebas lelaki perempuan, dan watak-watak yang tidak pula menunjukkan ciri-ciri keIslaman. Mana tidaknya mereka tercampak dalam kekeliruan ini, apabila Ustaz dan Ustazah di sekolah menceritakan berkenaan kecantikan Islam, tetapi kepimpinan kita pula tidak pun mempraktikkan Islam secara menyeluruh.
Jadi, mengapa marah kepada mereka yang murtad ini?
Mengapa tidak melihat apa yang telah kita lakukan?
Bukankah sebenarnya secara tidak langsung, kita inilah yang ‘memurtadkan’ mereka?
Inilah akibatnya apabila kita meninggalkan arahan Allah SWT untuk mengambil Islam secara total dalam firmanNya:
“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Ugama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.” Surah Al-Baqarah ayat 208.
Jelas-jelas Allah tutup ayat itu dengan berhati-hati dengan jejak langkah Syaitan. Kerana apabila kita tidak ambil Islam secara menyeluruh, dan mula mencampur adukkannya dengan gerak langkah syaitan(yakni perkara yang menyimpang daripada Islam), maka secara automatik kita akan gagal.

Penutup: Gejala Murtad, Solusinya Bukan Semata-mata Perdebatan.
Saya melihat gejala murtad ini solusinya bukan semata-mata kita berdebat dengan mereka dan menunjukkan bukti-bukti bahawa Islam itu benar. Kalau nak tunjuk tulisan Allah di langit, silap haribulan lambang salib pun boleh terbentuk pada awan. Kita nak cakap apa pada masa itu? Kalau nak cakap fasal azab kubur, secara lumrahnya, tiada siapa nampak fasal azab kubur dan neraka.
Maka apa yang boleh kita tunjukkan kepada orang-orang yang murtad ini, termasuklah mereka yang non-Muslim, adalah akhlak dan sikap kita sebagai orang Islam. Menjadi seorang yang baik, berdisiplin, ramah, amanah, jujur, cemerlang, matang dan berwawasan. Bersih, kemas, terbaik dalam segenap hal yang kita ceburi. Taat pada Allah dan berusaha bersungguh-sungguh meninggalkan laranganNya, sekaligus menjadi bukti bahawa keimanan kita kepada Allah, ketundukan kita kepada Agama Islamlah yang menjana, memacu kejayaan hidup kita.
Pada masa yang sama, kita banteras gejala-gejala ‘Islam warna-warni’ yang telah kita berikan kepada rakyat kita sekian lama. Kita cuba kembalikan media kita, selebriti kita, filem dan drama kita, akhbar-akhbar kita, kepada keseluruhan Islam yang jelas membawa kepada keharmonian dan kebaikan, yang pastinya memberikan ‘kelegaan’ kepada semua orang, baik yang berbeza bangsa dan agama. Kerana jika kita selami semula, bukankah Allah SWT berfirman:
“Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.” Surah Al-Anbiyaa’ ayat 107.
Maka sebaiknya kita buktikan dengan diri kita, sikap kita, bahawa benarlah Islam itu rahmatan lil ‘alamin. Apakah kita membuktikannya?
Atau kita menakut-nakutkan agama dan bangsa lain dengan betapa ‘superior’nya agama kita, dalam keadaan kita sendiri tidak ‘sesuperior’ agama kita, tidak melaksanakan pun perintah agama kita?
Cakap sahaja memang tidak banyak efeknya. Bahkan banyak pula fitnahnya. Seperti penyokong-penyokong sebuah parti yang memaki parti bukan Islam dengan perkataan ‘lan**u’, ‘Bab*’ kemudian sibuk melaung takbir Allahuakbar. Bagaimanakah pandangan non-Muslim terhadap sikap itu dan bagaimana pula pandangan anak remaja Islam yang tidak kuat pegangannya lagi, belum matang kefahamannya lagi, apabila melihat tindakan sedemikian?
Kita fikir-fikirkan.

sumber:langitilahi.com

0 ulasan:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Di Sini Cerita Kedai Kopi

SocialPromoter
Exabytes SiteLock
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

 

Copyright © Cerita Kedai Kopi